SALAH GUNA KUASA DAN RASUAH
Perhatian serius harus diberikan terhadap isu yang melibatkan rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku dalam negara kita. Isu yang melibat rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku dalam negara kita tidak boleh dibiarkan berterusan berlaku kerana ia sudah pasti memberi kesan buruk kepada rakyat dan negara kita. Rakyat pun sudah muak mendengar isu yang melibatkan rasuah dan salah guna yang kerap kali berlaku dalam negara kita.
Sekiranya kita ingin mewujudkan sebuah negara yang benar-benar bebas daripada rasuah serta salah guna kuasa semua pihak dalam negara kita perlu aktif memainkan peranan masing-masing dengan melakukan proses pemantauan serta tampil berani melaporkan sebarang kegiatan salah laku yang disyaki berkenaan kepada pihak berkuasa yang berkaitan seperti pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk proses siasatan lanjut dilakukan.
Orang ramai perlu sentiasa sensitif dan peka dengan keadaan sekeliling mereka serta perlu sentiasa rajin bertanya sekiranya terdapat sebarang perkara yang mencurigakan dan tidak masuk akal yang berlaku di sekeliling mereka. Antara perkara yang boleh memberi kecurigaan pada orang ramai ialah kekayaan luar biasa atau gaya hidup mewah dan keterlaluan yang dipamerkan oleh suspek salah laku rasuah dan salah guna kuasa. Malangnya, kebanyakan rasa syak wasangka dan perasaan curiga berkenaan hanya menjadi buah mulut serta cerita gosip semasa yang tidak membawa sebarang makna tanpa ada sebarang tindakan lanjut diambil terhadapnya.
Perlu diketahui, kebanyakan kes yang melibatkan rasuah serta penyalahgunaan kuasa yang melibatkan wang selalunya akan memberi kesan terhadap gaya hidup diri suspek serta ahli keluarga rapat mereka. Sudah menjadi fitrah setiap manusia untuk berbelanja serta menikmati gaya kehidupan yang lebih selesa setelah memiliki sejumlah wang. Kebanyakan suspek yang terlibat dalam kes rasuah serta salah guna kuasa ini juga akan mudah tergoda untuk berbelanja wang yang mereka perolehi serta gemar untuk menunjuk-nunjuk pada orang sekeliling segala kemewahan yang dimiliki oleh mereka.
Dengan wujudnya pelbagai jenis media sosial moden pada ketika ini seperti Facebook, WhatsApp, Instagram, Twitter dan lain-lain, segala usaha untuk tunjuk-menunjuk ini akan menjadi lebih kerap dilakukan oleh suspek serta ahli keluarga rapat mereka untuk tujuan tatapan umum.
Rekod sejarah yang melibatkan proses tangkapan yang dilakukan terhadap suspek rasuah dan penyalahgunaan kuasa ini banyak melibatkan hasil rampasan barangan mewah seperti rumah besar, barang kemas, jam berharga, kenderaan mewah dan lain-lain lagi yang berharga ribuan dan jutaan ringgit. Ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa rata-rata suspek yang terlibat dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa ini gemar berbelanja mewah diatas hasil kegiatan rasuah dan salah guna kuasa yang dilakukan oleh mereka.
Perubahan ketara hidup seseorang ke arah gaya kehidupan yang luar biasa mewah tanpa adanya sebarang sebab yang munasabah serta yang berlaku dalam sekelip mata dan hasil rampasan segala barangan mewah yang dimiliki dari pihak suspek serta ahli keluarga mereka kelak boleh dijadikan sebahagian daripada bahan bukti di dalam mahkamah bagi menyokong pertuduhan kes yang melibatkan rasuah ataupun penyalahgunaan kuasa.
Pada masa yang sama, kita juga harus berani melakukan perubahan drastik terhadap polisi dan dasar yang ada dalam negara kita bagi membendung rasuah dan salah guna kuasa. Sekiranya kita tidak melakukan perubahan drastik ini, kegiatan rasuah dan salah guna kuasa akan terus berulang kali berlaku dalam negara kita sekali gus menggugat kedudukan negara kita di dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada tahun-tahun akan datang.
Sumber : Google
Sekiranya kita tidak melaksanakan segala langkah drastik seperti yang telah dinyatakan, sukar untuk kita memperbaiki integriti perkhidmatan awam kita yang sudah tercalar ini. Oleh itu, kita perlu bertindak dengan cepat dan bertindak dari sekarang bagi membendung masalah rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku dalam negara kita.
Ulasan
Catat Ulasan