CERPEN NERACA
“SAYA
tidak setuju! Ini sudah melanggar etika dan protokol institusi kehakiman!”
Ketua
Setiausaha Negara, Tan Sri Hisham menentang dengan nada yang begitu marah.
“Saya rasa sudah tiba masanya negara dan dunia kehakiman lakukan perubahan yang
ketara sehingga rakyat di negara kita percaya pada kita. Mereka pun ada hak
untuk menentukan kesalahan-kesalahan yang ada di mahkamah.” Kesemua ahli dalam
bilik mesyuarat khas itu terdiam.
Satu
jam yang lepas, Perdana Menteri dan juga Ketua Hakim Negara memanggil Peguam
Negara dan juga peguam-peguam yang ada untuk membincangkan berkenaan memulihkan
semula nama baik institusi kehakiman. Perbincangan yang hangat itu menjadikan Jabatan
Perdana Menteri tempat berlangsungnya mesyuarat khas itu menjadi huru-hara.
Agenda mesyuarat oleh Jabatan Kehakiman Negara bersama Perdana Menteri itu
adalah untuk mencapai kata sepakat tindakan yang perlu dilakukan oleh mereka
demi memastikan nama baik sistem perundangan di Malaysia.
“Biar
saya ulang cadangan saya sebentar tadi, saya mencadangkan agar proses
pengadilan di mahkamah kita lakukan secara langsung terus ke kaca televisyen rakyat
supaya rakyat juga boleh membuat keputusan atas hukuman yang dikenakan kepada
pesalah. Saya juga mencadangkan untuk kita mewujudkan satu aplikasi khas untuk
rakyat membuat undian dan pilihan mereka ke atas Orang Kena Tuduh.”
Cadanganku
inilah yang ditentang oleh Tan Sri Hisham sebentar tadi. Aku melihat reaksi
wajah Perdana Menteri seakan-akan sedang meneliti cadanganku untuk
dipertimbangkan.
Aku
masih ingat lagi beberapa bulan yang lalu negara digemparkan dengan isu rasuah
dan salah guna kuasa yang melibatkan bekas Peguam Negara dan peguam-peguam yang
lain demi memastikan anak guam mereka menang dalam pembicaraan kes. Hal ini
menyebabkan rakyat Malaysia begitu marah sehingga hilang kepercayaan kepada
institusi kehakiman dan ada sebilangan rakyat yang menghina sistem kehakiman
negara. Perkara ini mengejutkan ramai pihak termasuklah Yang Amat Berhormat
Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Nazifah Halim. Bila diingatkan kembali
situasi ketika itu, aku dan rakan-rakan
peguam yang lain juga terpalit sehingga dipandang rendah oleh masyarakat.
“Baiklah,
saya setuju. Mengapa tidak kita cuba dahulu apa yang dirancang oleh Tuan Khalid
tadi. Dengan kuasa yang ada pada saya, saya melantik Tuan Khalid sebagai Ketua
Hakim bagi sesi pembicaraan secara langsung ini. Segala kuasa kehakiman akan
tertakluk kepada Tuan Khalid.” Dato Seri Nazifah memberi kelulusan dengan
tenang. Aku juga terkejut dengan kata-kata dan pelantikan yang dibuat oleh
Perdana Menteri itu. Tan Sri Hisham seakan-akan tidak percaya dan menunduk seakan-akan
sakit kepala apabila perancangan aku dipersetujui oleh YAB Perdana Menteri yang
ke-10 itu.
Selang
beberapa hari kemudian, Rancangan Televisyen Malaysia telah pun bersetuju untuk
menjadi penyiar utama bagi perbicaraan siaran langsung yang bakal menjadi
sejarahnya yang tersendiri bagi negara. RTM menghantar sepasukan kru untuk penyiaran
itu nanti yang diketuai oleh Encik Adlin selaku ketua produksi.
“Saya
berasa bertuah kerana terlibat sama dalam perbicaraan yang bagi saya sungguh
pelik dan unik kerana nak siarkan terus ke kaca televisyen. Saya dan pasukan
saya harap dapat memberi kerjasama yang baik demi perbicaraan ini.” Keterujaan
Encik Adlin jelas kelihatan.
“Tapi Tuan sudah ada ke tajuk program kita
ni?” Encik Adlin mengerutkan dahinya.
“Sudah tapi saya belum umumkan lagi kerana
petang ini saya akan adakan sidang media bagi memperkenalkan program ini kepada
seluruh rakyat Malaysia. Jadinya, saya mahu pertolongan dari pasukan Encik
untuk kita adakan sidang media petang ini boleh?”
“Boleh Tuan, tiada masalah. Pihak RTM sentiasa
memberi lampu hijau kepada kita untuk adakan siaran langsung kerana ini juga
merupakan arahan perdana menteri.”
Hotel
Cititel di Bangsar menjadi tempat sidang media. Ramai wartawan yang hadir. Aku berdiri
di hadapan puluhan wartawan yang seakan-akan tertanya berkenaan program ini.
“Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada
semua. Saya Tuan Khalid, peguam dan juga ketua hakim bagi sebuah rancangan
perbicaraan mahkamah yang akan disiarkan secara langsung di kaca televisyen
anda melalui siaran RTM. Demi mendapatkan semula kepercayaan dan juga keyakinan
rakyat kepada institusi kehakiman negara, YAB. Perdana Menteri telah bersetuju
untuk mengadakan siaran secara langsung ini dan anda semua iaitu rakyat
Malaysia berhak mengadili bersama bagi perbicaraan ini. Malaysia, andalah yang
berkuasa!. Rancangan ini diberi nama ‘Neraca’ yang membawa maksud pertimbangan.
Saya rasa itu sahaja untuk sidang media pada kali ini. Sekian, kita jumpa di
mahkamah nanti.”
Tibalah
hari dan masa yang dinantikan. Hari pertama ‘Neraca’ akan ditayangkan buat
rakyat Malaysia. Aku memasuki ke mahkamah dengan tenang. ‘Neraca’ dimulakan
dengan aluan dari pengacara terkenal iaitu Suhaimi Hassan. “Assalamualaikum dan
salam sejahtera. Selamat datang ke siaran langsung perbicaraan mahkamah pertama
di televisyen. Perbicaraan yang jatuhkan hukuman berdasarkan undian seluruh
negara. Kami nantikan anda di sini. Mudah saja untuk mengundi. Pasang aplikasi
MyNeraca di telefon bimbit anda. Kemudian tekan ikon undi, anda boleh saksikan
perbicaraan yang sedang berlangsung. Anda akan lihat dua butang di bahagian
bawah. Jika anda rasa perlu dijatuhkan hukuman berat, tekan butang merah. Jika
tidak, tekan butang biru. Undian anda akan dipaparkan pada graf dan dihantar ke
pusat kehakiman. Semasa siaran ini berlangsung, hakim akan dapat melihat pendapat
orang awam untuk membuat keputusan. Saya akan perkenalkan hakim kita,
dipersilakan Tuan Khalid!”
“Rakyat-rakyat
sekalian, mahkamah akan mulakan sesi.”
Mahkamah
memulakan perbicaraan dengan kes yang pertama iaitu kes yang melibatkan bekas
Peguam Negara dan beberapa orang hakim berkaitan salah guna kuasa dan rasuah
yang menggemparkan negara tempoh hari. Mengikut akta Seksyen 23 Akta
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, tertuduh boleh dihukum di
bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20
tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau
mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
“Adakah
tertuduh mengaku salah bagi kesalahan ini?”
“Tidak.”
Peguam
yang mewakili defendan meminta mahkamah untuk kemukakan bukti dan saksi untuk
membuktikan anak guamnya itu bersalah. Kemudian, masuklah saksi utama ke dalam
mahkamah. Alangkah terkejutnya pihak defendan apabila saksi yang dibawa masuk
adalah pembantu peribadi kepada bekas peguam negara tersebut iaitu Encik Safiy
Saad. Defendan kelihatan mula gelisah dan resah.
Saksi
mengangkat sumpah sebelum disoal oleh mahkamah agar apa yang diperkatakannya
itu benar-benar belaka. Encik Safiy menjawab segala persoalan dengan tenang dan
meyakinkan orang ramai. “Pada 20 Disember 2020, tertuduh meminta saya menyimpan
sejumlah wang yang tersimpan di dalam sebuah sampul surat ke rumahnya dan
memasukkan sebahagian dari wang tersebut ke akaun peribadi milik beliau.”
Setelah
hampir dua jam perbicaraan berlangsung, aku meminta penonton untuk memulakan
undian terhadap tertuduh. Graf yang ditayangkan pada layar besar menunjukkan 99
peratus berkata tertuduh bersalah. Berdasarkan undian tersebut serta
bukti-bukti yang disediakan oleh pihak plaintif, mahkamah menjatuhkan hukuman
denda RM100 juta dan penjara 10 tahun kepada defendan atas kesalahan salah guna
kuasa tanpa mendapat rayuan dari mana-mana mahkamah.
Rakyat
memberi maklum balas yang baik terhadap cara aku mengendalikan mahkamah ini. Sambutan
yang diberikan oleh rakyat juga sangat baik untuk Neraca. Perbicaraan ini akan
aku teruskan demi menuntut hak bagi mereka yang ditindas. Institusi kehakiman
akan kembali bersinar dan dipercayai semula oleh semua rakyat.
Ulasan
Catat Ulasan