PEMIMPIN AMANAH, UMMAH BAHAGIA
20 November 2021 yang lalu, sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan telah berlangsung dengan penuh penghayatan. Selawat dan salam keatas Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W tidak henti-henti dialunkan dari mulut kita. Namun, saya ingin berkongsi disini berkenaan titah Timbalan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang cukup sarat dengan intipati dan teguran serta nasihat yang baik untuk semua lapisan masyarakat.
Baginda bertitah, pemimpin yang tidak amanah dan tidak berintegriti akan mengakibatkan ummah berada dalam sengsara. kemiskinan ummah akan menjadi lebih buruk apabila pemimpin lebih mengutamakan agenda membina kekayaan material dengan mengambil dan menidakkan hak ummah secara tidak adil serta melalui kaedah yang meragukan. kekayaan material yang diperoleh secara mencurigakan akan melahirkan individu kaya secara mendadak tanpa dilengkapi kekayaan minda, intelek, ilmu dan rohani.
![]() |
| Sumber : Bernama |
”Ia adalah kekayaan palsu yang sementara sifatnya, sekadar melahirkan budaya bermewah-mewah, bermegah-megah, serta budaya melakukan banyak pembaziran. Akibatnya, berlaku ketirisan sumber, pembangunan yang tempang serta kadar pengangguran, kadar penghijrahan, penyeludupan, jenayah dan rasuah yang tinggi, disusuli dengan pelbagai penyakit sosial."
“Ia juga mengakibatkan ketenteraman awam terjejas, kestabilan politik tergugat dan ummah bertambah derita kerana terperangkap dalam putaran ganas penderitaan,” titah baginda
“Sebahagian besar masalah ummah pada hari ini berpunca daripada krisis yang tercetus kerana perebutan untuk membina kekayaan secara tidak luhur, tidak telus. Malah turut berlakunya perebutan kuasa, kerana kuasa dilihat sebagai saluran atau konduit untuk membina kekayaan diri, keluarga dan kroni,” titah baginda.
Baginda juga bertitah jika pemimpin senantiasa insaf akan tanggungjawab lebih besar kepada Allah SWT, maka sejahteralah hidup ummah dan akan makmurlah negara. Pemimpin perlu mencontohi sifat kepimpinan Rasulullah S.A.W sebagai panduan dan rujukan utama.

Ulasan
Catat Ulasan